Wednesday, 13 June 2012

Maksud seni

Seni merupakan sesuatu ciptaan ataupun ekspresi yang dianggap indah. Berlandaskan beberapa faktor seperti faktor keagamaan, kebudayaan, ruang, masa dan keadaan yang tertentu, seni ini dapat memenuhi keperluan naluri estetik dan fizikal manusia. Oleh sebab itu, hal seperti ini telah melahirkan kepelbagaian pengertian seni itu sendiri seperti tradisi, moden dan pascamoden mengikut zaman dan masyarakat tertentu. Selain itu, penekanan terhadap aspek-aspek formal, makna dan konteks penghasilan sesuatu karya lazimnya diambilkira dalam melahirkan penghayatan dan penghargaan terhadap karya tersebut. Tambahan lagi, seni juga mempunyai pelbagai peranan yang bersifat psikologi dan sosiologi.

Secara umum pula, seni adalah berkaitan dengan hal mengenai keindahan atau nilai estetika yang merangkumi aspek jasmani dan kerohanian setiap individu mahupun masyarakat. Seni dapat ditakrifkan sebagai suatu ciptaan ataupun ekspresi terhadap sesuatu yang dianggap indah, terutamanya dalam bentuk visual (Homby, 1974). Selain itu, seni juga disifatkan sebagai suatu kegiatan atau suatu proses penciptaan yang memerlukan kemahiran serta pengetahuan bagi mewujudkan idea dalam bentuk yang nyata (Martin, 1986). Tambahan lagi, Hauser berpendapat bahawa seni itu adalah komunikasi (1959). Menurut Herbert Read pula, seni itu adalah suatu penciptaan bentuk-bentuk yang menyenangkan. Seni adalah penjelmaan rasa estetika (1959).

      Pendidikan seni visual

Seni visual merangkumi aspek pengkaryaan yang dihubungkaitkan dengan disiplin seni halus dan perekaan yang juga meliputi bidang-bidang komunikasi visual, rekabentuk teknologi dan rekabentuk persekitaran. Secara ringkasnya, ia merangkumi seni lukis dan seni reka. Tambahan lagi, karya seni visual merupakan suatu ekspresi visual terhadap sesuatu idea ataupun pengalaman yang dibentuk menerusi penggunaan sesuatu bahan ataupun medium dengan menggunakan teknik-teknik yang tertentu. Pengkarya dan pereka lazimnya memilih bahan yang sesuai dengan perasaan atau idea yang ingin disampaikannya.khalayak atau masyarakat menikmati karya seni visual apabila bahan yang digunakan oleh pengkarya dengan cara-cara yang tertentu membolehkan sesuatu objek atau persembahan itu mudah difahami ataupun digunapakai oleh mereka.

Tambahan lagi, karya seni visual yang terbentuk menerusi gabungan bahan-bahan yang berbeza disebut sebagai bahan campuran ataupun mix media. Selain daripada fotografi dan filem yang dirintis pada abad kesembilan belas, menjelang pertengahan abad kedua puluh, teknologi moden telah menghasilkan media seni visual yang baru seperti komputer dan video. Sebagai suatu bentuk komunikasi, seni visual menyampaikan pelbagai maksud yang bertolak daripada pemikiran, perasaan dan pengamatan (Preble, Preble dan Frank, 1999).

Perkembangan budaya dan masyarakat telah banyak mempengaruhi bentuk seni visual itu sendiri dan melahirkan beberapa istilah yang penting. Sebagai contoh, istilah-istilah seni halus dan seni gunaan telah mencul pada abad ke-18. Seni halus ini merujuk kepada penghasilan seni yang berasaskan konsep keindahan atau estetika dan merangkumi bentuk seni seperti catan, lukisan, arca, cetakan, seni bina, puisi dan juga muzik (Osbome, 1979). Sementara itu, seni gunaan pula merujuk kepada seni yang berasaskan fungsi seperti produk seni grafik, tekstil, seramik, seni industry, fesyen, fotografi, seni logam halus, seni reka hiasan dalaman, seni lanskap, multimedia dan animasi.

Disamping seni halus dan seni gunaan, terdapat juga istilah-istilah seni tradisi, seni keagamaan, seni moden dan seni pascamoden. Seni tradisi lazimnya disifatkan sebagai bentuk seni yang diwarisi oleh sesebuah bangsa dengan penampilan cirri-ciri tertentu yang dapat mencerminkan identiti masyarakat tersebut. Sebagai contoh, identiti dalamkesenian tradisi Melayu seperti seni ukir, seni tekstil dan anyaman dapat dihayati menerusi keseragaman motif-motif dan maknanya. Seni keagamaan pula mendukung prinsip agama yang tertentu dan ia berbeza diantara satu dengan yang lain lantaran setiap agama memiliki konsep, tatacara, kaedah dan prinsip yang tersendiri.

Oleh itu, kepelbagaian ruang lingkup seni, sama ada dari segi bentuk, makna, teknik, bahan dan hubungannya dengan konteks penghasilan, termasuklah pengkarya dan persekitaran serta penghayatan masyarakat terhadapnya menjadi perkara-perkara asas kepada bidang Sejarah Seni Visual.














No comments:

Post a Comment